AKU SUDAH SELESA GEMUK!
"Ah, aku dah biasa macam ni. Dari dulu lagi berbadan gempal."
Ungkapan ini sering menjadi perisai bagi mereka yang berada dalam zon "Selesa Gemuk". Hakikatnya, bagi individu yang sudah bertahun-tahun hidup dengan tubuh yang besar, berat badan tersebut bukan lagi sekadar angka, melainkan sebahagian daripada identiti diri. Di sinilah letaknya cabaran terbesar: mengubah tabiat pemakanan lama yang sudah berakar umbi.
Secara logiknya, majoriti individu ini bukannya tidak tahu tentang amalan pemakanan sihat. Sebut sahaja tentang suku-suku separuh, bahaya gula berlebihan, atau kepentingan kalori defisit—semuanya sudah berada di dalam kepala. Namun, tahu sahaja tidak cukup untuk memadamkan memori jangka panjang lidah dan perut yang sudah terbiasa dengan porsi yang besar, makanan yang sarat dengan perasa, serta tabiat makan untuk menenangkan emosi.
Kesukaran utama bukan terletak pada kekurangan ilmu, tetapi pada kebiasaan (habit) dan psikologi pemakanan. Makanan selalunya bukan sekadar pengisi perut, tetapi telah menjadi sumber keselesaan emosi, cara bersosial, dan rutin harian yang sukar dipisahkan. Mengubah cara makan secara mendadak dirasakan seperti membuang satu bahagian penting dalam hidup mereka. Akibatnya, niat untuk berubah sering kali tewas kepada godaan rasa dan keselesaan tabiat lama.
Apabila makanan sudah menjadi zon selesa dan mekanisme mengatasi stres, usaha mengubah cara makan terasa seperti kehilangan satu "kenikmatan hidup". Ketakutan untuk berlapar atau terpaksa menolak makanan kegemaran sering kali menang berbanding kesedaran tentang risiko penyakit kronik yang sedang mengintai dalam diam.
Memujuk golongan yang sudah selesa dengan keadaan fizikal mereka tidak boleh menggunakan pendekatan "tembakan terus" atau kecaman (fat-shaming). Ia memerlukan empati, strategi yang halus, dan fokus kepada kesihatan, bukan sekadar rupa paras.
1. Ubah Fokus: Daripada "Kurus" kepada "Kualiti Hidup"
Jangan sesekali menekankan aspek rupa paras atau estetika, kerana mereka sudah selesa dengan penampilan mereka. Fokuskan perbualan kepada kualiti hidup. Tanya atau ingatkan mereka tentang kemudahan bergerak, mengelakkan sakit lutut, dan mengekalkan tenaga untuk beribadah atau meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Jangan sebut tentang impian memilik badan langsing atau saiz baju yang kecil. Sebaliknya, puji dan fokus kepada fungsi tubuh.
Contoh: "Saya bukan nak tengok awak kurus melentik, saya cuma risaukan lutut awak. Nanti senang kita nak jalan-jalan, travel, dan solat dengan selesa bila umur dah meningkat."
2. Cadangkan Perubahan Kecil (Teknik Micro-Steps)
Jangan paksa mereka menukar diet secara mendadak (contohnya terus potong karbohidrat sepenuhnya), kerana ini akan mencetuskan stres dan penolakan.
Contoh: "Tak apa, tak payah diet ketat sangat lagi. Cuba kita tukar air manis kepada air masak dulu minggu ni. Makan nasi macam biasa, cuma kurangkan kuah banjir."
3. Kaitkan dengan Masa Depan Bersama Orang Tersayang
Gunakan elemen kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga sebagai dorongan kuat.
Contoh: "Kita nak hidup lama sama-sama, nak tengok anak cucu membesar. Kalau kita tak jaga makan sekarang, kesian kat badan kita nanti terpaksa bergantung pada ubat."
Contoh: "Saya sayang awak dan saya mahu kita hidup sihat sama-sama sampai tua. Kalau awak sakit nanti, susah untuk kita buat aktiviti bersama."
4. Jangan Menghukum, Jadilah Rakan Kongsi
Kata-kata sindiran atau kritikan langsung tentang kuantiti makanan mereka hanya akan membuatkan mereka semakin mempertahankan tabiat lama (defensif) atau mencari ketenangan pada makanan. Berikan sokongan dan puji setiap usaha kecil yang mereka tunjukkan. Mereka tahu mereka salah dari segi pemakanan, jadi mereka tidak perlukan "pensyarah" untuk membilas kesilapan tersebut. Mereka perlukan sokongan.
Contoh: "Jom kita sama-sama cuba menu baru ni hujung minggu ni. Saya pun nak belajar makan lebih sayur. Kita buat sama-sama, okay?"
5. Raikan Setiap Kemenangan Kecil
Daripada menyuruh mereka berhenti makan makanan kegemaran, fokuskan kepada menambah menu sihat.
Contoh: Galakkan mereka menambah hidangan buah-buahan atau air masak sebelum memulakan hidangan utama. Apabila perut sudah mula penuh dengan makanan padat nutrisi, kuantiti makanan tinggi kalori akan berkurang secara semula jadi.
Apabila mereka mula membuat pilihan yang sedikit lebih sihat (contohnya: memilih buah berbanding kuih manis), berikan peneguhan positif.
Contoh: "Bagusnya awak order air kurang manis tadi! Sikit-sikit kita ubah tabiat, janji konsisten."

Comments
Post a Comment