Pemakanan dan Peranan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti
Penyediaan makanan di PDK tidak dilakukan secara sambil lewa, sebaliknya berpandukan konsep Pinggan Sihat Malaysia. Setiap hidangan utama disusun rapi mengikut formula suku karbohidrat, suku protein, dan separuh buah-buahan serta sayur-sayuran. Pendekatan ini memastikan setiap pelatih mendapat tenaga dan zat yang mencukupi untuk menjalani pelbagai aktiviti harian di pusat berkenaan. Suasana makan di PDK juga mempraktikkan konsep penyediaan makanan mengikut keperluan khas setiap pelatih. Memandangkan sebahagian pelatih mempunyai kelemahan fizikal atau masalah menelan, tekstur makanan diubah suai mengikut kesesuaian. Ada hidangan yang perlu dicincang halus, dilenyek, atau dikisar lembut supaya mudah dikunyah dan tidak berisiko menyebabkan pelatih tercekik. Pengurusan sajian turut memberi perhatian khas kepada pelatih autisme dan hiperaktif. Penggunaan gula berlebihan, bahan pewarna tiruan, dan pengawet dikurangkan seawal mungkin dalam menu harian. Kawalan ini terbukti membantu menenangkan emosi pelatih serta meningkatkan daya fokus mereka sepanjang sesi pembelajaran.
Namun, di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Kinabatangan (PPDKK), suasana terasa agak berbeza dan lebih meriah daripada biasa. Ruang legar yang selalunya diisi dengan aktiviti terapi sentiada disinari senyuman dan gelak tawa para pelatih. Setiap hari merupakan hari istimewa apabila waktu makan dijalankan menerusi konsep bekalan dari rumah, di mana setiap ahli keluarga menyediakan makanan untuk dibawa dan dikongsi bersama. Seawal jam 10.00 pagi, beg-beg bekal dan mangkuk tingkat pelbagai warna sudah mula tersusun rapi di atas meja panjang. Aroma masakan dari rumah yang membangkitkan selera seperti nasi goreng, bihun yang dimasak penuh kasih sayang, juga kuih-muih tradisional dan buah-buahan segar memenuhi segenap ruang atas meja makan di ruangan dapur. Kebanyakan ibu bapa sengaja menyediakan porsi yang lebih agar anak-anak mereka dapat merasa air tangan daripada keluarga rakan-rakan yang lain.
Sebelum majlis makan bermula, para petugas PPDKK membimbing pelatih untuk beratur dan membasuh tangan dengan bersih. Sebelum hidangan dinikmati, para pelatih diwajibkan mengamalkan kebersihan diri yang asas. Mereka diajar cara mencuci tangan dengan betul menggunakan sabun sebelum dan selepas makan. Amalan mudah ini secara tidak langsung mendidik mereka tentang kepentingan kebersihan bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit. Suasana penuh dengan rasa disiplin tetapi santai, di mana pelatih yang lebih mahir secara sukarela membantu rakan-rakan yang mempunyai keterbatasan fizikal. Pembukaan penutup bekal menjadi detik yang paling dinantikan, memperlihatkan kepelbagaian hidangan yang disediakan mengikut keupayaan dan keutamaan setiap keluarga.
Amalan membawa bekalan rumah ini bukan sekadar mengisi perut yang lapar, malah menjadi medium latihan sosial yang sangat berkesan. Melalui ikatan meja makan ini, pelatih belajar nilai murni seperti memberi, menerima, giliran mengambil makanan, serta menghargai pemberian orang lain. Bagi pelatih yang selalunya agak pendiam atau sukar berinteraksi, suasana kebersamaan ini secara tidak langsung merangsang mereka untuk lebih terbuka dan bergaul mesra tanpa rasa jangkok.
Apabila doa makan dibaca bersama, tradisi berkongsi rezeki pun bermula. Senyuman terukir indah di wajah para pelatih apabila mereka saling menawarkan makanan antara satu sama lain. "Makanlah biskut saya," atau "Cuba rasa kuih ibu saya buat," menjadi bait-bait bicara ringkas tetapi penuh bermakna yang menyerap masuk ke dalam jiwa mereka, meruntuhkan tembok rasa rendah diri dan menggantikannya dengan rasa memiliki. Waktu makan di PDKK bukan sekadar sesi mengenyangkan perut, malah menjadi medan latihan praktikal yang sangat berharga. Pelatih diajar adab di meja makan, seperti membaca doa, memegang sudu dan garpu dengan betul, serta makan dengan tertib tanpa menyepahkan makanan. Bagi pelatih yang sukar memegang peralatan, petugas akan membimbing pergerakan tangan mereka secara berperingkat.
Sesudah kenyang menikmati hidangan, kebersamaan itu tidak terhenti di situ sahaja. Dengan bimbingan penuh sabar daripada para petugas, setiap pelatih diajar untuk mengemas kembali bekal masing-masing dan membersihkan sisa makanan di atas meja. Momen indah ini membuktikan bahawa melalui kesederhanaan sekotak bekal dari rumah, PPDKK berjaya memupuk semangat kekeluargaan, nilai berdikari, dan kemesraan yang sejati dalam kalangan warga OKU. Situasi ini turut memupuk sikap bertanggungjawab dan rasa kebersamaan dalam menjaga kebersihan ruang makan bersama.
Selain amalan pemakanan, PDKK menyediakan pelbagai program latihan harian yang direka khusus untuk memperkasakan keupayaan pelatih. Salah satu fokus utama ialah kemahiran pengurusan diri, seperti cara memakai pakaian dengan kemas, menggosok gigi, dan menguruskan kebersihan diri di tandas tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Latihan kemahiran motor halus dan kasar turut diberikan perhatian yang mendalam melalui terapi fizikal serta aktiviti kreatif. Pelatih diajar memegang pensel, memotong kertas, mewarna, dan menyusun blok untuk merangsang koordinasi mata dan tangan. Aktiviti fizikal ringan pula membantu menguatkan otot serta meningkatkan keseimbangan badan mereka.
PDKK juga menjadi tempat untuk mengasah kemahiran sosial dan komunikasi para pelatih. Melalui aktiviti berkumpulan dan permainan interaktif, mereka belajar untuk berinteraksi, bertukar pandangan, bertegur sapa, serta mengawal emosi apabila berada dalam kalangan rakan-rakan. Suasana ini membina keyakinan diri mereka untuk berhadapan dengan masyarakat luar. Bagi pelatih yang lebih dewasa, PDKK menyediakan latihan vokasional asas seperti berkebun, memasak hidangan mudah, dan membuat kraf tangan. Kemahiran berasaskan amalan praktikal ini bertujuan memberikan pendedahan asas supaya mereka berpotensi menjana pendapatan sendiri atau membantu keluarga di rumah kelak.
Secara keseluruhannya, amalan pemakanan yang betul dan pelbagai pembelajaran di PDK saling melengkapi antara satu sama lain. Pemakanan yang sihat memberi tenaga dan kestabilan fizikal, manakala latihan harian pula membuka ruang untuk pelatih berkembang menjadi insan yang berdikari, yakin, dan berdaya saing mengikut keupayaan masing-masing.
Penulis
Nutritionist Suwaibah

Comments
Post a Comment