Kursus Kemahiran Keibubapaan di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Kinabatangan
Isnin, 10 hb Ogos 2026
Unit Pemakanan, Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan dengan kerjasama erat bersama Jabatan KEMAS Kinabatangan, telah berjaya melaksanakan Kursus Kemahiran Keibubapaan bertempat di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Kinabatangan. Program ini dirangka khusus bagi memperkasaka
n institusi keluarga melalui bimbingan serta pendedahan ilmu keibubapaan yang komprehensif kepada masyarakat setempat.
Sebagai agensi kesihatan yang komited terhadap kesejahteraan komuniti, pihak Pejabat Kesihatan melihat kursus ini sebagai platform penting dalam memupuk kesedaran pemakanan dan kesihatan awal kanak-kanak. Antara objektif utama penglibatan kami adalah untuk memberi pengetahuan serta kemahiran praktikal kepada ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan makanan yang sihat, berkhasiat, serta mengamalkan tabiat pemakanan yang baik untuk anak-anak di rumah.
Nutritionist Nur Fatimah binti Lasano selaku Pegawai Sains Pemakanan bersama Dr. Farah Azureen binti Abd Zain, Ketua Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Pejabat Kesihatan Kinabatangan, telah hadir mengetuai perkongsian ilmu, pengalaman, serta tip-tip kesihatan dan pemakanan berguna kepada para ibu bapa yang hadir. Selain aspek pemakanan, program ini turut menekankan kepentingan kesinambungan pendidikan awal kanak-kanak bermula dari institusi TABIKA/TASKA hingga ke persekitaran rumah tangga. Pendedahan mengenai tahap perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak berumur 0 hingga 6 tahun turut diketengahkan bagi memastikan tumbesaran mereka berada pada tahap yang optimum. Di samping itu, taklimat berkaitan isu-isu kesihatan semasa serta cabaran mendidik anak-anak dalam era generasi digital turut dibahaskan bagi membekalkan ibu bapa dengan ilmu yang relevan.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Kurniawan Naim bin Moktar, Ahli Parlimen P.187 Kinabatangan. Pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kesudian beliau hadir menyantuni para peserta, yang menjadi manifestasi keprihatinan mendalam terhadap usaha membina masyarakat yang sihat dan sejahtera.
Penghargaan turut ditujukan kepada Pengarah KEMAS Negeri Sabah, Tuan Ahmad Fakhrul Azman Radzi, atas sokongan berterusan dalam memastikan program pembangunan komuniti ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ucapan terima kasih juga dilanjutkan kepada rombongan YB Datuk atas kesudian meluangkan masa memeriahkan program ini.
Kejayaan penganjuran ini jelas membuktikan keberkesanan sinergi pelbagai pihak. Pihak kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang lain, iaitu Jabatan Penerangan Kinabatangan dan Jabatan Pergigian Kinabatangan, atas kerjasama padu yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Ucapan terima kasih yang tulus juga ditujukan kepada Jawatankuasa Pelaksana KEMAS Kinabatangan, khususnya PKD En. Ramlan Sandakan, serta semua penyelia dan staf daripada Unit PAK, Unit PKOM, Unit PKEM, dan Unit UKP yang telah bertungkus-lumus merancang serta menyelaras kelancaran program ini.
Program ini turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna bagi anak-anak TABIKA/TASKA KEMAS yang menampilkan kreativiti dan semangat yang luar biasa. Syabas dan tahniah diucapkan kepada anak-anak cilik tersebut, serta jutaan terima kasih kepada semua ibu bapa yang sporting dan memberikan kerjasama yang sangat aktif. Sesungguhnya, keibubapaan bukan sekadar membesarkan anak, tetapi satu amanah besar untuk mendidik dan membentuk generasi masa hadapan yang sihat dan berkualiti.
Semoga segala ilmu, bimbingan, masa, dan tenaga yang dicurahkan sepanjang kursus ini mendapat keberkatan serta ganjaran yang sebaik-baiknya daripada Allah SWT, serta mampu melahirkan institusi keluarga yang bahagia, sihat, penyayang, dan berilmu.
Sumber gambar: En. Mohd Fauzi bin Awang Damit, PMPK PLF KEMAS Kinabatangan)



.jpg)








Comments
Post a Comment