Hari Kemerdekaan Kita Raikan
Setiap kali menjelang 31 Ogos, bahang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia sentiasa meriah dengan kibaran Jalur Gemilang di segenap pelosok negara. Namun, selain perarakan dan pertunjukan bunga api, ada satu lagi wadah unik yang sentiasa berjaya menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan budaya, iaitu tradisi makan-makan. Kepelbagaian kulinari yang wujud di negara ini bukan sekadar pemuas selera, malah menjadi cerminan keharmonian dan warisan sejarah yang kita pertahankan bersama.
Majlis santapan kemerdekaan tidak akan lengkap tanpa hidangan ikonik tanah air, iaitu masakan Melayu. Nasi lemak yang harum dengan bau santan dan daun pandan, dihidangkan bersama sambal pedas manis, telur rebus, serta ayam goreng rempah sentiasa menjadi penyeri meja. Ditambah pula dengan kehangatan rendang daging dan ketupat, masakan Melayu memaparkan kekayaan rempah-ratus yang menyimbolkan jiwa dan identiti asal jiwa Nusantara.
Kehadiran masakan Cina pula menyuntik kepelbagaian tekstur dan rasa yang begitu halus. Dim sum yang dikukus segar, char kway teow yang kaya dengan aroma wok hei, serta nasi ayam Hainan yang lembut menjadi kegemaran ramai tanpa mengira latar belakang. Kehadiran elemen kulinari Cina dalam jamuan kemerdekaan membuktikan bagaimana resepi warisan tradisi dapat diterima dan dirayakan bersama oleh seluruh lapisan masyarakat.
Masakan India memberi sentuhan rasa yang berani, kaya dengan rempah-ratus yang membangkitkan selera. Nasi daun pisang yang dihidangkan bersama pelbagai jenis kari, ayam varuval, dan papadom yang rangup sentiasa menjadi perhatian utama. Tidak lupa juga tosai dan roti canai yang telah menjadi sebahagian daripada sarapan wajib rakyat Malaysia, membuktikan betapa sebatinya masakan India dalam kehidupan seharian kita.
Kemerdekaan negara juga diraikan dengan mengangkat keunikan masakan Sabah yang penuh dengan khazanah alam Borneo. Hidangan seperti hinava iaitu ikan segar yang diperap dengan jus limau kapas, cili, dan halia memberi rasa segar yang tiada tandingan. Gabungan sayur tuhau dan bambangan pula menambah kepelbagaian rasa tempatan yang autentik, sekali gus memperkenal kebudayaan suku kaum Negeri di Bawah Bayu kepada semua tetamu.
Dari bumi Sarawak pula, keunikan kulinari Negeri Bumi Kenyalang turut memeriahkan suasana. Laksa Sarawak dengan kuah rempah bersantan yang gurih dan dihiasi udang segar serta isi ayam menjadi kegemaran segera sesiapa sahaja yang mencubanya. Selain itu, Manok Janik dan Manok Pansoh iaitu ayam yang dimasak di dalam buluh bersama daun ubi menampilkan warisan tradisi tradisonal masyarakat Iban yang kaya dengan nilai sejarah.
Dalam era globalisasi ini, selera rakyat Malaysia turut diraikan dengan kehadiran masakan Western yang moden. Hidangan seperti chicken chop dengan sos lada hitam, stik daging lembu panggang, pasta carbonara, serta pizza keju yang meleleh menjadi pilihan generasi muda. Gabungan kulinari Barat ini melambangkan keterbukaan negara kita dalam menerima pengaruh luar tanpa membelakangkan identiti tempatan.
Tidak ketinggalan, kepelbagaian masakan antarabangsa seperti sajian dari Jepun, Korea, dan Timur Tengah turut menyerikan pesta makan-makan ini. Sushi dan ramen yang berasaskan bahan segar, samgyeopsal dan tteokbokki yang popular dari Korea, serta nasi mandy dan kebab dari Timur Tengah menunjukkan betapa kaya dan bervariasinya cita rasa masyarakat Malaysia hari ini yang bersatu di bawah satu bumbung.
Pencuci mulut dan minuman juga memainkan peranan penting dalam melengkapkan sesi makan-makan kemerdekaan ini. Cendol manis berais yang kaya dengan santan dan gula melaka, ais kacang yang warna-warni, serta teh tarik yang berbuih menjadi penutup santapan yang sempurna. Kuih-muih tradisional seperti kuih seri muka, karipap, dan kuih lapis turut menambah keceriaan meja hidangan.
Sambutan Hari Kemerdekaan melalui aktiviti makan-makan bukan sekadar tentang mengenyangkan perut, tetapi merupakan manifestasi perpaduan nasional. Di atas satu meja jamuan, kita dapat melihat kepelbagaian rasa dari Semenanjung, Sabah, Sarawak, hingga ke persada antarabangsa bersatu dengan harmonis. Semangat kepelbagaian inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik, damai, dan sentiasa dirindui.
Selamat Hari Kemerdekaan!


Comments
Post a Comment