Diskusi Program Pakej Inisiatif Sekolahku SIhat Stail Kita (SKSSK) bersama Guru Besar SKBG II
Rabu, 1 hb Julai 2026
Satu sesi perbincangan peringkat awal bagi membincangkan pelaksanaan Program "Sekolahku Sihat, Stail Kita" telah diadakan di Pejabat Guru Besar SK Bukit Garam II. Sesi ini dihadiri oleh Encik Abd Rait Bin Othman, Guru Besar selaku penasihat, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), serta penyelaras Unit 4K (Kebersihan, Keceriaan, Keselamatan dan Kesihatan). Pertemuan penting ini bertujuan untuk mendapatkan kelulusan dasar, panduan hala tuju, serta mandat daripada pihak pentadbiran tertinggi sekolah sebelum gerak kerja penubuhan jawatankuasa dan penyediaan logistik program dimulakan.
Dalam sesi tersebut, satu penerangan ringkas mengenai konsep, objektif, dan pengisian utama program telah dibentangkan kepada Guru Besar. Fokus utama pembentangan tertumpu kepada pelaksanaan ujian penilaian intervensi yang bakal dijalankan terhadap para pelajar. Ujian intervensi ini dirangka khusus untuk mengukur tahap kefahaman semasa murid mengenai amalan pemakanan sihat, sekali gus berfungsi sebagai data asas (baseline data) penting bagi menilai keberkesanan program kesihatan yang dirancang.
Guru Besar menyambut baik perancangan tersebut dan memberikan beberapa saranan penambahbaikan bagi memastikan aktiviti intervensi yang dijalankan benar-benar memberikan impak yang optimum. Hasil perbincangan awal ini telah membuahkan lampu hijau daripada pihak pengurusan untuk meneruskan perancangan ke fasa penyusunan kertas kerja rasmi. Sesi perbincangan diakhiri dengan komitmen bersama untuk memastikan amalan gaya hidup sihat dapat diterapkan secara holistik dalam kalangan warga SK Bukit Garam II.

Comments
Post a Comment