Klinik Kesihatan Batu Putih: Seminar Penyusuan Susu Ibu dan Pemakanan Bayi/Kanak-Kanak
Pada 31 Julai 2026,
Seminar Penyusuan Susu Ibu dan Pemakanan Bayi/Kanak-Kanak telah diadakan di Klinik Kesihatan Batu Putih. Program ini menyaksikan sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 26 orang peserta, merangkumi kakitangan klinik, ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu, ibu hamil, dan ibu postnatal. Sesi ceramah diisi sepenuhnya oleh Nutritionist Suwaibah Binti Abd Hadi.
Sesi awal seminar memfokuskan pendedahan menyeluruh mengenai Polisi Penyusuan Susu Ibu Kebangsaan dan memahami penyusuan susu ibu secara eksklusif dan tentang pelbagai kebaikan penyusuan susu ibu terhadap imuniti serta perkembangan anak. Peserta diberi kefahaman mengenai amalan pemakanan sihat untuk ibu hamil dan menyusu, anatomi payu dara, laktogenesis dan memahami fungsi pertahanan susu ibu dalam mekanisma enteromamari. Penceramah turut memberikan kemahiran praktikal berkenaan teknik perahan susu yang betul, kaedah pengurusan dan penyimpanan susu, serta penyelesaian masalah penyusuan. Selain itu, pendedahan mengenai tataetika pemasaran produk bayi, pemerkasaan komuniti menerusi kumpulan sokongan, dan penyertaan dalam sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia turut diberi penekanan.
Bagi topik pemakanan bayi dan kanak-kanak, peserta dibimbing untuk memahami realiti saiz perut bayi agar dapat mengelakkan amalan pemberian makanan berlebihan. Pengetahuan mengenai pemilihan dan tekstur makanan yang sesuai mengikut tahap tumbuh tumbesaran anak turut dikongsikan secara jelas. Sesi pemakanan diteruskan dengan panduan penyediaan hidangan harian yang lengkap berasaskan konsep makanan seimbang untuk kanak-kanak. Penceramah juga memberikan pendekatan psikologi dan praktikal untuk menangani tingkah laku anak yang memilih makanan (picky eater) agar waktu makan menjadi pengalaman yang menyenangkan.
Seminar yang berlangsung di Klinik Kesihatan Batu Putih ini telah mencapai matlamat utama dengan jayanya. Melalui pendedahan komprehensif ini, diharap peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari demi menyokong amalan penyusuan dan penyediaan makanan berkhasiat di peringkat keluarga mahupun komuniti tempatan.

.jpeg)


.jpeg)


.jpeg)











Comments
Post a Comment