Latihan Katering Sihat di SK Bukit Garam II
Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan dengan kerjasama pihak sekolah telah berjaya menganjurkan Kursus Latihan Katering Sihat bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Sekolah Kebangsaan Bukit Garam II. Program ini dihadiri seramai 17 orang peserta yang terdiri daripada pengusaha kantin sekolah, pengendali makanan dalam PIBG, serta warga sekolah yang terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan harian murid. Kursus ini diadakan khusus bagi memperkasakan pengetahuan serta kemahiran pengendali makanan dalam aspek penyediaan hidangan yang berkhasiat, berkualiti, dan selamat untuk komuniti sekolah.
Program turut menyerlahkan sokongan padu daripada pihak pentadbiran sekolah melalui kehadiran barisan pentadbirnya. Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Sarbanun Binti Nasri selaku Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Daud Bin Kamil sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), serta Encik Rosmin Bin Hj. Okar selaku Penolong Kanan Ko-Kurikulum. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen yang tinggi dalam memastikan aspek pemakanan dan kesihatan murid sentiasa menjadi keutamaan pihak sekolah dari semasa ke semasa.
Sesi ceramah utama telah disampaikan dengan jayanya oleh Nutritionist Suwaibah Binti Abd Hadi dari Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan. Di awal sesi, penceramah mengetengahkan isu terkini mengenai peningkatan kes obesiti dalam kalangan murid serta implikasinya terhadap kesihatan jangka panjang. Para peserta turut didedahkan secara terperinci kepada konsep pinggan sihat Malaysia iaitu "Suku-Suku Separuh" serta panduan pengambilan pelbagai jenis makanan berdasarkan Piramid Makanan yang betul bagi memastikan keseimbangan nutrien dalam setiap hidangan yang disediakan di sekolah. Tidak sekadar teori pemakanan, sesi ini turut diisi dengan aktiviti praktikal di mana para pengusaha dibimbing mengira Indeks Jisim Tubuh (BMI) masing-masing bagi menilai kedudukan kategori berat badan mereka, sama ada berada di tahap normal ataupun kategori obesiti.
Selain daripada itu, taklimat turut merangkumi teknik praktikal untuk mengekalkan khasiat zat makanan semasa proses memasak dan penyediaan harian yang lebih sihat kurang lemak, kurang garam dan kurang gula. Aspek berkaitan kepentingan menjaga kebersihan makanan terutamanya semasa proses penyimpanan turut diterangkan bagi mengelakkan sebarang risiko keracunan makanan. Di samping itu, para peserta dibimbing mengenai cara membaca label pemakanan pada bungkusan produk makanan dan kepentingan mengenali Logo Pilihan Lebih Sihat (Healthier Choice Logo) sewaktu memilih makanan semasa di pasaraya.
Sebagai langkah pengukuhan kefahaman, kursus ini turut diisi dengan sesi praktikal menimbang makanan secara langsung. Sesi ini memfokuskan kepada pematuhan saiz sajian bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) mengikut panduan pemakanan sihat yang telah ditetapkan untuk menu di kantin sekolah. Para peserta berpeluang melihat dan mempraktikkan sendiri cara menyukat serta menimbang makanan dengan tepat bagi memastikan setiap hidangan yang diagihkan kepada murid memenuhi piawaian nutrien yang disarankan. Bagi merealisasikan matlamat menambah nilai pengoperasian kantin sekolah secara holistik, sesi ini turut diperkasakan dengan pelaksanaan pemantauan serta bimbingan profesional merangkumi aspek kualiti jualan makanan dan standard kebersihan.
Gabungan pelaksanaan Kursus Latihan Katering Sihat ini amat bertepatan dan selari dengan pelaksanaan program "Sekolahku Sihat Stail Kita" yang sedang dijalankan di sekolah ini bagi membudayakan gaya hidup sihat secara menyeluruh. Diharapkan inisiatif berterusan ini mampu mengekalkan standard katering sekolah yang bersih, selamat, serta menyokong kesejahteraan dan tumbesaran sihat murid-murid.






Comments
Post a Comment