Kepelbagaian, Bersederhana dan Diet Seimbang

"Khasiat tidak datang daripada satu jenis makanan sahaja. Pelbagaikan hidangan anda, kerana setiap jenis makanan membawa kebaikan uniknya yang tersendiri."

Gandingan Jiwa, Penerus Momentum: Syabas Warga Klinik Rakan Bayi!

 

Jumaat, 17 Julai 2026

Majlis Penutup Penilaian Semula Pengiktirafan Klinik Rakan Bayi telah diadakan dengan penuh rasmi di Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan. Majlis ini menandakan berakhirnya siri penilaian audit intensif yang telah dijalankan ke atas tiga fasiliti kesihatan utama di daerah tersebut, iaitu Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Kinabatangan, Klinik Kesihatan Bukit Garam, dan Klinik Kesihatan Kuamut. Acara penutup ini menjadi platform penting bagi merumuskan keseluruhan dapatan audit serta memperkukuh komitmen berterusan warga kesihatan dalam memperjuangkan agenda penyusuan susu ibu secara eksklusif.

Majlis ini telah dipengerusikan dengan jayanya oleh Nutritionist Suwaibah Binti Abd Hadi. Dalam ucapan alu-aluannya, beliau dengan penuh takzim mengalukan kehadiran tetamu kehormat, selaku Ketua Auditor, Encik Shahrulnaz Norhazli Bin Nazri, Ketua Penolong Kanan di Cawangan Pemakanan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, serta merakamkan penghargaan atas kesudian beliau hadir dan memberikan pelbagai cadangan membina bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya dalam konteks advokasi penyusuan susu ibu. Suasana majlis kemudiannya bertukar menjadi lebih serius dan penuh debaran apabila semua hadirin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ulasan keputusan yang dibentangkan oleh Ketua Auditor.

Nutritionist Nurul Ashiella Binti Hassan, menyampaikan pembentangan yang memperincikan senarai panjang aspek penambahbaikan. Skop penting yang digariskan merangkumi kaedah penyediaan dokumen yang tersusun, penyebaran maklumat penyusuan, ketersediaan bilik penyusuan yang kondusif, serta kemasan ruang legar klinik. Sesi penilaian semula ini telah merangkumi semakan menyeluruh ke atas 10 Langkah Polisi Penyusuan Susu Ibu yang wajib dipatuhi oleh setiap fasiliti. Secara keseluruhannya, sebahagian besar markah penilaian yang diperolehi adalah sangat memuaskan, walaupun diakui bahawa dalam usaha mengejar kesempurnaan, cabaran dan jurang yang ada kadangkala sukar dielakkan. Beliau juga mengingatkan bahawa tata etika penyusuan mesti sentiasa dipelihara agar golongan ibu di luar sana tidak keliru dengan matlamat utama penyusuan susu ibu yang tulen. Beliau turut menegaskan kepentingan pematuhan ketat terhadap tata etika pemasaran rumusan bayi yang wajib dipatuhi tanpa kompromi agar kualiti perkhidmatan dan advokasi penyusuan susu ibu dapat diperluaskan dengan lebih berkesan.

Nutritionist Suwaibah Binti Abd Hadi menzahirkan rasa amat menghargai komitmen jitu seluruh kakitangan kesihatan, terutamanya barisan kejururawatan. Beliau memuji usaha tanpa henti mereka yang telah bertungkus-lumus menyediakan dokumen penyusuan, melakukan pemurnian bilik penyusuan, serta membimbing ibu antenatal dan postnatal sehingga sesi penilaian ini dapat berlangsung dengan sangat lancar. Kerjasama yang erat dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua anggota kesihatan disifatkan sebagai kunci utama kejayaan proses audit kali ini. Nutritionist Nur Fatimah Binti Lasanio dan Cik Nur Ainaa' Najihah Binti Abdullah Zaini turut berpuas hati dengan pencapaian hasil audit sehingga tidak terucap dengan kata-kata 😁😁😁, dengan komitmen yang diberikan oleh semua kakitangan kesihatan bagi menjayakan proses penilaian semula Klinik Rakan Bayi ini.

Dalam perkembangan lain, Nutritionist Suwaibah Binti Abd Hadi turut berkongsi perincian menarik yang dijelaskan oleh Encik Shahrulnaz Norhazli Bin Nazri mengenai program AKSSI (Ahli Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu) Sabah. Beliau mendedahkan perancangan program Kembara Penyusuan Susu Ibu yang bakal berlangsung pada tahun 2027 ke negara Korea, disusuli dengan kembara ke Indonesia pada tahun 2028. Program penandaaras global ini bertujuan untuk mempelajari acuan dan amalan terbaik penyusuan susu ibu di seantero negara luar, yang seterusnya akan diadaptasi mengikut kesesuaian budaya dan sistem kesihatan di negara sendiri.

Sebagai tanda penghargaan dan setulus kasih mesra, majlis turut menyampaikan cendera kenangan buat barisan panel auditor yang berdedikasi iaitu Nutritionist Nurul Ashiella Binti Hassan, Nutritionist NorSyafieqah Irdina Binti Mohd Ishak, Nutritionist Syaznie Enre, dan Nutritionist Rosmawati Binti Dora. Kehadiran dan percambahan fikiran daripada mereka ini sebenarnya telah membuahkan penemuan audit yang sangat bagus untuk penambahbaikan. Input yang dikongsikan ini amat bernilai agar di masa akan datang, anggota kesihatan dapat terus mempelajari tentang kepentingan mempromosikan penyusuan susu ibu serta kaitannya dengan tata etika produk susu dan makanan bayi secara lebih mendalam.

Sebagai kemuncak majlis, satu pengumuman penting telah dibuat di mana berdasarkan penilaian menyeluruh ke atas 10 langkah penyusuan yang telah dijalankan, ketiga-tiga klinik kesihatan berkenaan diisytiharkan layak dipertimbangkan sepenuhnya untuk menerima pengiktirafan semula sebagai Klinik Rakan Bayi. Kejayaan yang amat membanggakan ini adalah hasil titik peluh, disiplin, dan dedikasi tinggi yang konsisten daripada seluruh warga kerja kesihatan. Ucapan setinggi-tinggi tahniah diucapkan buat semua pihak yang terlibat, dan semoga pencapaian cemerlang ini terus menyuntik semangat untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang terbaik demi kesihatan ibu dan anak di daerah Kinabatangan.

Dengan kesedaran tinggi bahawa usaha advokasi penyusuan susu ibu bukanlah satu program bermusim, sebaliknya satu perjuangan berterusan yang perlu diperkasakan demi mencapai KPI yang ditetapkan. Berbekalkan maklum balas daripada panel penilai dan suntikan semangat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, KKIA Kinabatangan, KK Bukit Garam, dan KK Kuamut kini bersiap sedia untuk mengorak langkah ke hadapan. Komitmen utuh yang dizahirkan pada hari ini menjadi bukti bahawa warga kesihatan daerah Kinabatangan sentiasa bersatu hati demi menjamin kesihatan terbaik buat generasi masa hadapan.

Facebook: https://www.facebook.com/share/1Bxj1JgYmh/




Comments

Harga Kesihatan

"Kesihatan itu mahkota yang tidak terlihat, hanya orang sakit yang tahu nilainya. Jaga makan, jaga kehidupan."

Popular

Popular Posts

Amalan Pinggan Sihat Berkhasiat

"Anda tidak perlu mengubah keseluruhan hidup anda dalam sehari, cukup sekadar menukar isi pinggan anda kepada yang lebih berkhasiat hari ini."

Hubungi kami

Name

Email *

Message *