Kursus Gaya Hidup Sihat di KEMAS Kinabatangan
Khamis, 27 hb Ogos 2026
Kursus Gaya Hidup Sihat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kinabatangan telah berjaya dilaksanakan di ruang legar utama KEMAS Kinabatangan. Program berimpak tinggi ini mendapat sambutan dengan kehadiran 45 orang peserta komuniti setempat beserta urusetia dan telah dirasmikan oleh Pegawai KEMAS Daerah Kinabatangan, En. Ramlan bin Mohamad Basir. Turut hadir menjayakan majlis ialah Encik Mohd Tarmizi Bin Mohd Mustaba, Penolong Pegawai Pembangunan Komuniti dan Kemahiran, serta Puan Rina Binti Jafri, Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan. Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan fizikal dan mental, membudayakan pemakanan seimbang, serta menggalakkan aktiviti kecergasan harian demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
Tirai program dibuka seawal jam 8:00 pagi dengan sesi senamrobik bertenaga di bawah bimbingan Coach Jirin (Mohd Azrinsyah bin Jiwi) bersama Team Fitness Pengkalan. Pergerakan senaman yang dinamik dan suasana ceria berjaya menyemarakkan semangat para peserta sebelum program diteruskan dengan ujian saringan kesihatan menyeluruh. Saringan yang merangkumi pemeriksaan tekanan darah, ujian paras gula, dan Indeks Jisim Badan (BMI) ini dikendalikan secara profesional oleh Dr. Steffany bersama Jururawat Noraina dan Jururawat Rosnah. Melalui sesi ini, para peserta turut menerima konsultasi kesihatan peribadi serta cadangan nasihat susulan.
Program diteruskan dengan slot ceramah pertama bertajuk "Gaya Hidup Sihat" yang disampaikan oleh Dr. Stefenny Geoffrey. Ceramah ini memfokuskan kepada matlamat Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam memupuk budaya hidup sihat dan melestarikan kesejahteraan persekitaran komuniti. Beliau menekankan kepentingan pemakanan sihat, kecergasan fizikal, serta keseimbangan mental dan fizikal. Di samping itu, beliau turut mendedahkan bahaya tabiat kurang bergerak dan langkah pencegahan awal terhadap penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.
Seterusnya, Nutritionist Suwaibah menyampaikan ceramah kedua bertajuk "Cegah Bantut, Kurus dan Obesiti" yang memberi penekanan khusus kepada pengurusan berat badan ideal serta isu tumbesaran kanak-kanak yang boleh mempengaruhi perkembangan mereka sehingga remaja dan dewasa. Beliau berkongsi panduan pemakanan seimbang menerusi konsep Piramid Makanan dan Pinggan Sihat Malaysia "Suku Suku Separuh" untuk amalan di rumah. Beliau turut mengupas implikasi bahaya masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak serta cara mengelakkan risiko obesiti melalui kawalan kalori dan pemilihan makanan berkhasiat. Pendedahan ini amat bermanfaat dalam membantu peserta membendung masalah kurang nutrisi mahupun berlebihan berat badan demi menjamin kesihatan isi rumah.
.jpeg)





.jpeg)

.jpeg)
Comments
Post a Comment