MAJLIS PENUTUP PENILAIAN KE ARAH PENGIKTIRAFAN KLINIK RAKAN BAYI, DAERAH KINABATANGAN
Rabu, 19 hb. Ogos 2026
Majlis penutup bagi sesi penilaian Klinik Rakan Bayi telah diadakan dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan, dan dihadiri oleh ahli pasukan penilai serta warga kerja kesihatan yang terlibat. Pada 17 dan 18 Ogos 2026, telah berlangsung penilaian ke arah pengiktirafan Klinik Rakan Bayi yang melibatkan 3 klinik kesihatan di bawah pentadbiran Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan iaitu Klinik Kesihatan Batu Putih, Klinik Kesihatan Sukau dan Klinik Kesihatan Suan Lamba. Seluruh rangkaian aktiviti penilaian yang dijalankan selama dua hari tersebut telah berjaya dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Majlis dipengerusikan oleh Cik Suwaibah Binti Abd Hadi, Pegawai Sains Pemakanan, PKK Kinabatangan. Beliau memulakan mesyuarat dengan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama penuh sepanjang program penilaian berlangsung. Seterusnya, Puan Nur Fatimah Binti Lasano (Pegawai Sains Pemakanan, PKK Kinabatangan) tampil menyampaikan kata-kata aluan majlis penutup. Beliau menegaskan kepentingan pengiktirafan Klinik Rakan Bayi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan ibu dan anak di daerah Kinabatangan.
Acara diteruskan dengan pembentangan daripada Ketua Penilai iaitu Encik Dale Richi Anak Ripat Eric (Pegawai Sains Pemakanan Klinik Kesihatan Lahad Datu) dan Miss Aiwen Tsen (Pegawai Sains Pemakanan dari KK Keningau) menyampaikan rumusan audit secara menyeluruh. Pembentangan ini merangkumi skop penilaian, penemuan lapangan, serta kekuatan yang telah ditunjukkan oleh pihak klinik sepanjang penilaian dua hari tersebut. Dalam rumusan tersebut, Ketua Penilai turut mengetengahkan beberapa jurang dan aspek yang memerlukan perhatian lanjut. Penilaian dilakukan berpandukan kriteria piawaian Inisiatif Klinik Rakan Bayi bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan berada pada tahap optimum.
Pihak penilai seterusnya mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan yang strategik. Cadangan ini merangkumi pengukuhan latihan kakitangan, pemantauan konsisten terhadap promosi penyusuan susu ibu, serta penambahbaikan kemudahan fasiliti sokongan di klinik. Pasukan pengurusan dan kakitangan klinik menyambut baik semua syor serta maklum balas yang disampaikan oleh pihak penilai. Langkah-langkah tindakan susulan akan segera dirangka bagi memenuhi cadangan penambahbaikan tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Secara keseluruhannya, mesyuarat penutup ini menjadi platform penting untuk menilai pencapaian semasa serta menguatkan komitmen warga kesihatan. Usaha ini berterusan demi memastikan matlamat mencapai pengiktirafan rasmi Klinik Rakan Bayi dapat direalisasikan. Majlis diakhiri dengan tekad bersama untuk terus meningkatkan standard perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan ibu dan bayi. Mesyuarat ditangguhkan dengan ucapan penghargaan k
epada pasukan penilai atas panduan serta khidmat nasihat yang diberikan.
FB: https://www.facebook.com/share/1DQiiGs1GT/

Comments
Post a Comment