Penjurian Kelas Paling Kreatif Sempena Bulan Kemerdekaan di PDK Kinabatangan
Isnin, 24 hb Ogos 2026
Pertandingan Kelas Kreatif dan Bersih Sempena Bulan Kemerdekaan telah sempurna diadakan, yang dianjurkan khas untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga PDK Kinabatangan. Selain bertujuan meningkatkan keceriaan serta kebersihan suasana pembelajaran, penganjuran pertandingan ini turut berfungsi sebagai platform promosi luaran untuk memperkenalkan peranan dan aktiviti PDK Kinabatangan kepada masyarakat umum menerusi media sosial. Sesi penganjuran yang diacarakan dengan jayanya oleh Emcee Norizwani (PKK Kinabatangan) ini telah dihadiri seramai 10 orang peserta dan urus setia, mengendalikan penyertaan serta persaingan mesra daripada empat buah kelas iaitu Kelas Anggerik, Kelas Matahari, Kelas Orkid, dan Kelas Rafflesia.
Wakil PKK Kinabatangan yang telah dilantik sebagai juri jemputan iaitu Nutritionist Suwaibah turut berganding secara profesional bagi membuat penilaian bersama dengan Pustakawan Erina dari jabatan Perpustakaan Kinabatangan dan Puan Norliana Aqilah yang merupakan Mantan Penyelia PDK Kinabatangan. Barisan juri telah menilai kesemua kelas berdasarkan sistem penilaian menyeluruh yang mengimbangi aspek fizikal persekitaran kelas (80%) dan keberkesanan promosi digital di media sosial(20%).
Dalam komponen penilaian fizikal, penekanan utama diberikan kepada konsep kemerdekaan dan kreativiti melalui keaslian idea, pengolahan tema patriotik, serta kebolehan peserta memanfaatkan bahan kitar semula. Aspek kebersihan dan susunan turut dinilai dengan teliti merangkumi kekemasan perabot, kebersihan persekitaran, serta ciri keselamatan yang mesra warga PDK Kinabatangan. Selain itu, kriteria keceriaan dan impak visual memfokuskan kualiti pencahayaan, pemilihan warna, dan suasana kelas yang menyegarkan. Bagi menyokong promosi luaran pula, penilaian media sosial diukur menerusi penglibatan di platform TikTok, Telegram, dan Facebook berdasarkan jumlah interaksi, kreativiti muat naik, serta tahap jangkauan audiens.
Berdasarkan dapatan penilaian, kesemua kelas berjaya menarik perhatian juri dengan pelbagai binaan arca kemerdekaan yang kreatif seperti binaan Tugu Negara daripada botol minuman, replika bangunan KLCC daripada kertas dan botol, Jalur Gemilang daripada bekas telur, kertas dan penyedut minuman, Menara KL daripada kertas, serta arca bunga Rafflesia daripada kertas dan bunga raya daripada bekas telur. Di samping itu, setiap kelas turut dihias indah dengan pameran berinformasi seperti gambar senarai Perdana Menteri, tokoh-tokoh bangsawan, peta Malaysia, pengenalan permainan tradisional, bunga kebangsaan, dan mata wang Malaysia. Penganjuran unsur-unsur ini memberikan gambaran persekitaran pembelajaran yang amat menarik, inklusif, dan merangsang minda murid-murid PDK Kinabatangan. Barisan juri turut memberi pujian khas kepada semua guru atas keprihatinan mereka menjaga susun atur ruang yang selamat dan mesra murid berkeperluan khas tanpa sebarang halangan berbahaya.
Secara keseluruhannya, penganjuran pertandingan ini berjalan lancar dan berjaya menceriakan fizikal dan suasana pembelajaran, malah menjadi medium pemangkin yang berkesan dalam mengetengahkan usaha warga PDK Kinabatangan kepada masyarakat luas menerusi platform digital. Adalah diharapkan agar program seumpama ini dapat dijadikan contoh dan ikutan kepada jabatan atau unit lain demi terus memupuk dan menyemarakkan semangat patriotik di segenap peringkat organisasi.

.jpeg)

.jpeg)
.jpeg)


.jpeg)

.jpeg)


Comments
Post a Comment