Kursus Pengurusan Kes Kanak-Kanak Kurang Zat Makanan
23-24 hb Sept 2026
Kursus Pengurusan Kes Kanak-Kanak Kurang Zat Makanan telah diadakan selama dua hari, bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan. Kursus ini telah disertai oleh seramai 26 orang peserta yang terlibat dalam pengurusan dan pemantauan kanak-kanak kurang zat makanan di peringkat klinik kesihatan. Penganjuran kursus ini merupakan satu usaha penting dalam memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan kompetensi anggota kesihatan dalam menguruskan kes kanak-kanak kurang zat makanan secara lebih sistematik dan berkesan.
Kursus ini dirangka dengan pengisian yang merangkumi aspek penilaian status pemakanan, pemantauan pertumbuhan, pengukuran antropometri, intervensi pemakanan, pengurusan growth faltering serta kepentingan penglibatan keluarga dalam proses pemulihan kanak-kanak. Gabungan penyampaian teori, latihan praktikal, kuiz dan perbincangan kes telah menjadikan kursus lebih interaktif serta memberi peluang kepada peserta menghubungkan ilmu yang diperoleh dengan situasi sebenar di lapangan.
Kursus dimulakan dengan penyampaian oleh Nutritionist Nur Fatimah yang membentangkan topik “Jumlah Kes Kanak-Kanak Kurang Zat Makanan dan Pengendalian Kes Kanak-Kanak Kurang Zat Makanan yang Menerima Bantuan Bakul Makanan di Kinabatangan.” Sesi ini memberikan gambaran mengenai situasi semasa kes kanak-kanak kurang zat makanan di daerah Kinabatangan serta pendekatan pengendalian kes yang menerima bantuan bakul makanan.
Perbincangan turut menekankan bahawa pemberian bakul makanan perlu disertai dengan pemantauan yang berterusan. Bantuan makanan bukan sekadar pemberian bekalan kepada keluarga, sebaliknya perlu dilengkapkan dengan pendidikan pemakanan, pemantauan pengambilan makanan, penilaian pertumbuhan dan susulan secara berkala bagi memastikan intervensi yang diberikan benar-benar menyumbang kepada peningkatan status pemakanan kanak-kanak.
Seterusnya, Nutritionist Suwaibah menyampaikan beberapa topik yang penting dalam pengurusan kes, iaitu Garis Panduan PPKZM, Pemakanan Bayi dan Kanak-Kanak, Pemakanan Picky Eater serta Kepentingan Lawatan Ke Rumah. Sesi ini membantu peserta memahami prinsip pengurusan kes berdasarkan garis panduan serta kepentingan menyediakan intervensi pemakanan yang bersesuaian dengan umur, keperluan dan keadaan setiap kanak-kanak. Perbincangan berkaitan pemakanan picky eater turut memberikan perspektif yang lebih luas kepada peserta mengenai cabaran pemilihan makanan dalam kalangan kanak-kanak. Peserta didedahkan kepada kepentingan mengenal pasti tingkah laku pemakanan serta pendekatan yang sesuai bagi membantu ibu bapa menyediakan makanan yang pelbagai, berkhasiat dan bersesuaian dengan penerimaan kanak-kanak.
Kepentingan lawatan ke rumah turut diberi penekanan kerana ia membolehkan anggota kesihatan melihat keadaan sebenar keluarga dan persekitaran kanak-kanak. Melalui lawatan tersebut, faktor yang mungkin mempengaruhi status pemakanan seperti amalan penyediaan makanan, corak pemakanan, kebersihan, kemampuan keluarga serta penglibatan penjaga dapat dikenal pasti dengan lebih jelas. Maklumat ini seterusnya dapat membantu dalam merancang intervensi yang lebih bersasar.
Sesi seterusnya disampaikan oleh Dr. Farah Azureen Binti Abd Zaim, Pegawai Perubatan KKIA Kinabatangan, yang membentangkan topik “Tatacara Memplot Carta Pertumbuhan Bayi Pramatang.” Sesi ini memberi penekanan kepada kaedah yang betul dalam memantau dan memplot pertumbuhan bayi pramatang agar penilaian pertumbuhan dapat dibuat dengan tepat serta perubahan trajektori pertumbuhan dapat dikenal pasti pada peringkat awal.
Nutritionist Nur Ainaa' Najihah, Pegawai Pemakanan Klinik Kesihatan Tongod, pula menyampaikan ceramah bertajuk “Pengukuran Antropometri dan Plotting Carta Pertumbuhan.” Peserta diberi penerangan berkaitan teknik pengukuran antropometri yang betul termasuk berat badan, panjang atau tinggi serta kaedah plotting pada carta pertumbuhan. Ketepatan pengukuran dan tafsiran data ditekankan kerana kedua-duanya merupakan asas penting dalam mengenal pasti masalah pertumbuhan kanak-kanak.
Bagi mengukuhkan kefahaman peserta, satu sesi kuiz pengukuran antropometri turut dijalankan. Aktiviti ini memberikan peluang kepada peserta menguji pengetahuan yang telah diperoleh secara interaktif. Selain menggalakkan penglibatan aktif, sesi kuiz turut membantu mengenal pasti aspek yang memerlukan pengukuhan agar peserta lebih yakin melaksanakan pengukuran dan interpretasi pertumbuhan di klinik masing-masing.
Kursus diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Dr. Sarinah Binti Taring, Pakar Kesihatan Keluarga dari Klinik Kesihatan Bukit Garam, melalui ceramah bertajuk “Addressing and Managing Growth Faltering in Children.” Sesi ini menekankan kepentingan pengesanan awal masalah pertumbuhan serta tindakan susulan yang bersesuaian. Peserta turut didedahkan kepada pendekatan menyeluruh dalam menangani growth faltering dengan mengambil kira aspek pemakanan, kesihatan, persekitaran dan faktor keluarga. Bagi memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal, latihan berkaitan pengukuran panjang bagi kanak-kanak bantut menggunakan formula Mid-Parental Height turut dilaksanakan. Latihan ini membantu peserta memahami konsep potensi pertumbuhan kanak-kanak berdasarkan ketinggian ibu bapa serta memberikan kefahaman yang lebih baik dalam menilai pertumbuhan kanak-kanak secara menyeluruh.
Nutritionist Suwaibah turut memberi penerangan tentang pelaksanaan tiga projek intervensi pemakanan bersasar bagi menangani masalah malpemakanan kanak-kanak, iaitu Projek Seribu Hari Pertama Kehidupan, PPKZM Plus: Pendekatan Keluarga dan Projek Rintis Kawasan Tinggi Bantut. Taklimat ini memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai hala tuju intervensi pemakanan bersasar serta kepentingan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berfokus dalam menangani isu malpemakanan kanak-kanak. Di daerah Kinabatangan, penekanan khusus diberikan terhadap keperluan melaksanakan misi PPKZM Plus dan Projek Rintis Kawasan Tinggi Bantut. Penerangan ini bertujuan memastikan semua kakitangan yang terlibat mempunyai kefahaman dan kesediaan awal untuk bersama-sama merencanakan strategi pelaksanaan serta intervensi yang bersesuaian dengan situasi setempat. Pendekatan ini diharapkan dapat menggerakkan tindakan yang lebih tersusun, berfokus dan berasaskan keperluan sebenar komuniti dalam usaha menangani masalah bantut di daerah Kinabatangan.
Antara pengisian yang menarik sepanjang kursus ialah perbentangan 12 Case Study kanak-kanak kurang zat makanan yang melibatkan kes daripada klinik-klinik di daerah Kinabatangan dan Tongod. Pembentangan ini membuka ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman sebenar dalam menguruskan kes, mengenal pasti cabaran serta membincangkan pendekatan intervensi yang telah dilaksanakan. Sesi case study turut memperlihatkan bahawa setiap kanak-kanak kurang zat makanan mempunyai latar belakang, masalah dan keperluan yang berbeza. Justeru, pengurusan kes tidak boleh dilaksanakan menggunakan satu pendekatan yang sama untuk semua, sebaliknya memerlukan penilaian secara individu, pemantauan berterusan serta kerjasama antara anggota kesihatan dan keluarga. Perkongsian kes daripada pelbagai klinik juga memberikan peluang kepada peserta untuk mempelajari pengalaman dan amalan daripada rakan-rakan di lapangan.
Kursus Pengurusan Kes Kanak-Kanak Kurang Zat Makanan ini telah berlangsung dengan baik dan mencapai objektif yang ditetapkan. Penglibatan seramai 26 orang peserta, disokong oleh penyampaian ilmu daripada pegawai perubatan, pakar kesihatan keluarga dan pegawai pemakanan serta pengisian berbentuk praktikal dan case study, telah menjadikan kursus ini sebagai satu platform pembelajaran yang bermakna. Diharapkan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh dapat diaplikasikan di klinik masing-masing bagi memperkukuh pengesanan awal, pemantauan pertumbuhan dan pengurusan kanak-kanak kurang zat makanan secara lebih berkesan, bersepadu dan berterusan.


.jpeg)


.jpeg)
.jpeg)


.jpeg)

Comments
Post a Comment