Pelancaran Program Sekolahku Sihat Stail Kita di SK Bukit Garam II Kota Kinabatangan
Rabu, 9 hb September 2026
Program Pelancaran Sekolahku Sihat Stail Kita telah berjaya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam II, Kota Kinabatangan. Program berimpak tinggi ini dianjurkan dengan kerjasama strategik bersama Unit Pemakanan Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan demi memupuk budaya gaya hidup sihat dalam kalangan warga sekolah.
Majlis pelancaran rasmi ini telah disempurnakan oleh Tuan Zainuddin bin Muhammad, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinabatangan. Kehadiran beliau sebagai perasmi membuktikan komitmen dan sokongan padu pihak PPD terhadap usaha memperkasakan kesihatan murid di daerah ini.

Barisan pengurusan SK Bukit Garam II turut hadir memberikan sokongan penuh, diterajui oleh Guru Besar, Tuan Hj. Abd. Rait bin Othman. Turut hadir bersama ialah Puan Sarbanun binti Hj. Nasri (Penolong Kanan Kurikulum), Encik Daud@Asmadiah bin Hj. Kamil (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid), Encik Rusmin bin Hj. Okar (Penolong Kanan Ko-Kurikulum), dan Puan Kastieya binti Pudding (Penolong Kanan PPKI).
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga sekolah dengan penglibatan murid tahap dua seramai 300 orang. Kehadiran dan penyertaan aktif murid-murid ini mencerminkan semangat tinggi mereka untuk menimba ilmu berkaitan amalan pemakanan yang betul. Di samping itu, seramai 60 orang murid telah dipilih secara khusus untuk mengambil bahagian dalam Penilaian Keberkesanan Program Sekolahku Sihat Stail Kita. Penilaian ini dilaksanakan bagi mengukur tahap peningkatan kefahaman serta perubahan sikap murid terhadap pemakanan sihat sebelum dan selepas program.
Antara pengisian utama program ialah ceramah kesihatan bertajuk "Cegah Bantut, Susut dan Obesiti" yang disampaikan oleh Nutritionist Suwaibah binti Abd Hadi. Sesi ceramah ini memberi pendedahan secara terperinci mengenai isu pertumbuhan fizikal murid serta langkah pencegahannya melalui 7 strategi menangani masalah bantut, susut dan obesiti. Kefahaman pemakanan secara praktikal dimantapkan pengisian dengan lima stesen simulasi iaitu Stesen Pinggan Sihat, Stesen Piramid Makanan, Stesen Pelbagai Warna Sayur dan Buah, Stesen Bento Sihat, serta Stesen Air Kosong. Pengalaman di stesen-stesen simulasi ini membolehkan murid mempelajari amalan pemakanan secara interaktif dan menyeronokkan.
Pengendalian stesen-stesen simulasi ini telah dijayakan oleh pasukan profesional Unit Pemakanan Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan dan petugas kesihatan, termasuk Nutritionist Nur Fatimah binti Lasano, Nutritionist Nur Ainaa' Najihah binti Abdullah Zaini, Puan Salmie binti Ajis (Ketua Jururawat Kesihatan) dan Puan Jumriah binti Endang (Jururawat Kesihatan Awam) dari Klinik Kesihatan Bukit Garam, serta Noraina binti Din, Roselia binti Andam, dan Rosnah binti Japoli (Jururawat Masyarakat) dari KKIA Kinabatangan.
Jalinan kerjasama antara pihak sekolah dan Unit Pemakanan Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan menerusi Program Sekolahku Sihat Stail Kita ini telah memberi manfaat yang amat besar kepada para pelajar. Diharapkan agar ilmu dan pendedahan yang diterima dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian demi melahirkan generasi murid SK Bukit Garam II yang sihat, cerdas, dan cemerlang.
Semerbak mengharum berseri,
SK Bukit Garam 2,
Lahirmu di desa yang permai.
Berdedikasi berinovasi,
Jasamu guru tak ternilai batasnya,
Mendidik membimbing melahir generasi,
Menjadi insan penuh ilmu di dada.
Berilmu berakhlak berwawasan,
Itulah tonggak pegangan kami,
Majulah sekolah kebanggaan semua,
Namamu kan dikenang hingga akhir zaman.
Lirik : Kartina Hj Okar
Lagu : Julwandy Ribin & Kartina Hj Okar



















Comments
Post a Comment